Pusat Internet  Lubuk Buntar telah memulakan operasi pada 22 September 2015. Pusat Internet  merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) serta Telekom Malaysia Berhad dengan kerjasama MSD Digital Intelligence.Projek ini dilaksanakan di bawah Program Pemberian Sejagat dengan matlamat untuk merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat luar bandar dengan masyarakat bandar.

Pusat Internet  Lubuk Buntar telah beroperasi di Dewan Orang Ramai Lubuk Buntar, Batu 12, Chelong, Lubuk Buntar, 09800 Serdang Kedah. Pusat Internet Lubuk Buntarmenjadi tarikan pengunjung terutamanya dari golongan remaja lelaki memandangkan lokasinya terletak berdekatan dengan Gelanggang Futsal Lubuk Buntar. Selain itu, Pusat Internet  Lubuk Buntar satu tingkat juga menjadi tarikan golongan warga emas dan orang kurang upaya untuk menggunakan perkhidmatan di sini. Disamping itu, Pusat Internet  Lubuk Buntar juga mempunyai  kawasan yang luas untuk meletak kenderaan.


 Asal Usul Daerah Bandar Baharu, Kedah 

 

Daerah Bandar Baharu merupakan sebuah daerah kecil dari 11 daerah yang terdapat di Negeri Kedah Darul Aman. Daerah ini terlertak di Selatan Negeri Kedah bersempadan dengan Perak Utara (Daerah Kerian) dan Seberang Perai Selatan (Daerah Jawi). Sungai Kerian menjadi pemisah atau sempadan di antara Utara Perak dan Selatan Kedah. Keluasan Daerah Bandar Baharu adalah 27,126.12 hektar.

Sebelum merdeka, Sungai Kerian menjadi jalan perhubungan di kalangan penduduk di situ. Penempatan penduduk adalah di pinggir sungai. Manakala selepas merdeka perkembangan infrastruktur seperti jalan raya telah dibina. Penempatan penduduk mula berubah. Mereka mula membina rumah-rumah di persekitaran jalan dan terbentuklah kampung-kampung yang mudah dihubungi melalui jalan darat.

Menurut sumber lisan, Daerah Bandar Baharu dahulunya dikenali sebagai Pengkalan Haji Ali. Haji Ali merupakan Orang Rao dan seorang yang kaya. Beliau tinggal di Kampung Permatang Pasir. Setiap kali ingin keluar ke pekan, beliau akan mengupah seorang Cina untuk membawanya dengan menaiki lanca ke tebing Sungai Kerian. Kemudian beliau akan mendayung sampan menuju ke destinasi yang diingininya. Pada masa itu juga terdapat kemudahan kereta kuda yang digunakan untuk pengangkutan jarak jauh.

Dahulunya, Bandar Baharu tidak mempunyai Pegawai Daerah. Ia ditadbir oleh seorang penghulu. Penghulu yang pertama ialah Penghulu Ahmad yang bertugas di kawasan Bagan Samak. Semasa beliau mentadbir kawasan tersebut, beliau telah mati ditembak oleh orang yang tidak dikenali dan tidak tahu apa tujuan sebenarnya. Selepas peristiwa tersebut, Sultan Kedah iaitu Sultan Abdul Hamid merancang untuk datang ke Pengkalan Haji Ali. Tetapi, baginda tidak dapat datang atas sebab-sebab tertentu dan mengarahkan Tengku Sulong menggantikan tempatnya. Gelaran Sultan masa itu ialah Yang Amat Mulia Tuan. Selepas kedatangan Tengku Sulong, baginda telah mengubah Pengkalan Haji Ali kepada Jajahan Bandar Baharu. 

Sumber : http://sekondakhati.blogspot.my/2011/08/sejarah-asal-usul-daerah-bandar-baharu.html

 

Lubuk Buntar

Mengikut sejarah nama Lubuk Buntar diberi sempena terdapatnya banyak lubok-lubok di sebatang sungai iaitu Sungai Kerian dan juga terdapat banyaknya ikan-ikan buntal. Masyarakat tempatan pada zaman dahulu menjadikan lubok-lubok tersebut tempat mereka mencari rezeki. Pada mulanya kampung ini diberi nama Lubuk Buntal dan lama kelamaan menjadi kebiasaan penduduk-penduduk tempatan telah memanggil Lubuk Buntar dan nama Lubuk Buntar telah sinonim dengan penduduk-penduduk tempatan sehinggalah digazetkan oleh pihak kerajaan. Terdapat juga pendapat dari orang-orang terdahulu menyatakan bahawa ada sebuah lubuk besar di kawasan ini di mana terdapat banyak ikan-ikan buntal dan berbagai-bagai spisis ikan air tawar. Lubok berkenaan telah membekalkan air bersih untuk kegunaan penduduk-penduduk tempatan serta pesekitaran. Demi peredaran zaman, lama-kelamaan lubok tersebut telah tertimbus dan tidak kelihatan lagi sehingga sekarang.